Mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi
Kebangsaan 2006, mendapati 18.2% remaja berumur 13-15 tahun adalah
perokok. Manakala dalam Global Youth Tobacco Survey (GYTS)
Malaysia 2009, prevalen merokok ialah sebanyak 18.2% dalam kalangan
remaja. Sejumlah 22.8% remaja mula mencuba merokok sejak berumur 10
tahun dan 30.0% pula yang mencuba merokok sebatang atau dua batang
rokok.
Beberapa sebab utama telah dikenal pasti sebagai faktor penting remaja terjebak dalam tabiat merokok :
Faktor sosial
- Merokok adalah tabiat yang dipelajari. Ia dianggap sebagai simbol bagi kematangan, kehebatan dan daya tarik kepada golongan berlainan jantina. Kebanyakan remaja mula merokok pada usia lebih muda iaitu ada yang seawal 10 tahun.
- Rakan sebaya menjadi tempat untuk interaksi sosial dan mengatasi ketakutan, masalah dan kekeliruan. Rakan sebaya juga menjadi tempat mencuba sesuatu benda baru dan di luar daripada batas peraturan.
- Mengimitasi atau meniru tabiat orang dewasa dan rakan sebaya supaya diterima oleh “geng” dan rakan sebaya. Takut diejek atau diperlekeh oleh kawan-kawan menyebabkan remaja mengambil risiko mencuba. Bermula sebagai perokok sosial akhirnya menjadi perokok tegar akibat ketagihan nikotin. Dengan turut sama merokok, remaja memperoleh pengesahan sosial dan interaksi sesama rakan sekumpulan.
- Usia remaja merupakan tempoh individu mencari identiti diri. Pengaruh media massa yang menyiarkan iklan dan cerita yang mengambarkan hero seorang perokok yang hebat memberi gambaran salah kepada remaja bahawa tabiat merokok itu ‘cool’ dan bergaya serta lambang kehebatan.
- Remaja biasanya akan menjadikan selebriti atau artis sama ada penyanyi, pelakon mahupun pengacara sebagai idola. Mereka ingin menjadi seperti idola dengan meniru apa yang digayakan atau apa yang dilakukan oleh idola mereka.
- Merokok telah menjadi sebahagian daripada budaya yang diterima oleh masyarakat Malaysia. Ini menjadikan merokok tidak disifatkan sebagai suatu perbuatan yang salah bagi masyarakat. Ini memberi tanggapan kepada remaja bahawa tabiat merokok adalah sesuatu yang baik dan menjadikan naluri ingin mencuba semakin tinggi dalam diri mereka.
- Rokok mudah dibeli dan dibawa sertaboleh didapati di mana-mana kedai atau kios tanpa mengira tempat.
Jadilah remaja bijak
Konsep kendiri yang
dibina oleh remaja dalam diri masing-masing penting bagi menentukan
identiti sosial dan kumpulan. Ia boleh membawa kepada kecenderungan
untuk mempunyai tingkah laku yang sama di kalangan remaja dalam sesuatu
kumpulan itu.
Kuatkan jati diri dan suarakan hak untuk
tidak merokok serta berani mengatakan tidak kepada ajakan merokok.
Perokok adalah kumpulan minoriti dalam negara ini. Jadilah majoriti
rakyat yang tidak merokok dan hidup lebih sihat dengan memilih cara
hidup sihat.
Ekspresikan hak anda
Remaja boleh berperanan sebagai contoh/ role model
kepada rakan sebaya dan kanak-kanak dengan tidak merokok. Remaja
sebagai generasi Y perlu berani menyuarakan hak kepada persekitaran
bebas daripada asap rokok. Menyuarakan hak kepada udara bersih dengan
menjauhi diri daripada terjebak sebagai mangsa asap rokok basi yang
membahayakan kesihatan.
Katakan Tak Nak Kepada Rokok
Usia remaja adalah transisi perubahan ke
alam dewasa. Jadilah remaja yang bijak membuat keputusan untuk masa
depan diri sendiri. Menjauhi diri daripada terpengaruh dengan mencuba
tabiat merokok adalah pilihan bijak. Usia remaja hanya sekali dan
pastikan pilihan yang dibuat memberi manfaat untuk masa depan.