Kesan minum arak dan alkohol. Alkohol bukan
sahaja boleh memabukkan, tetapi juga mampu memudaratkan kesihatan diri
sekiranya diamalkan berterusan. Ia umpama kombinasi dadah dan racun kepada
badan kita. Malahan hampir setiap agama di dunia ini turut melarang tabiat
tersebut di kalangan para penganutnya. Kesan ketagihan akibat meminum alkohol
bukannya bergantung kepada jenis alkohol tetapi jumlah yang diminum pada
satu-satu masa.
- Peminumnya berkelakuan seperti orang gila dan menjadi bahan ketawa anak-anak kecil dan tercela di kalangan orang-orang berakal.
- Memboroskan harta dan merosakkan akal.
- Menyebabkan permusuhan dengan kawan-kawan.
- Terhalang daripada mengingat Allah dan sembahyang.
- Terdorong melakukan zina kerana dalam keadaan mabuk si peminum mungkin menceraikan isterinya tanpa disedari.
- Arak adalah pembuka bagi segala kejahatan.
- Perbuatan meminum arak mengganggu Malaikat yang menjaga si peminum disebabkan kefasikan dan bau busuk arak yang diminumnya.
- Dikenakan hukuman dera 80 kali di dunia dengan disaksikan oleh keluarga dan teman-teman.
- Perbuatan meminum arak menutup pintu langit disebabkan segala kebaikan dan doanya tidak terangkat ke langit selama 40 hari.
- Membawa akibat buruk terhadap diri si peminum kerana ditakuti tercabut imannya ketika mati.
Ini telah banyak dibuktikan melalui kajian-kajian
ilmiah samaada darisegi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukan
kebenaran yang jelas bahawa sesetengah jenayah dan keruntuhan akhlak dan moral
yang berlaku dalam masyarakat di antara lain berpunca dari gejala arak. Meminum
arak boleh membawa akibat-akibat yang sangat buruk terhadap diri peminum,
keluarga dan masyarakat.
Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada
penagih alkohol terhadap kesihatan dan perhubungan sosial, bagi individu yang
meminum arak iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang. Kesan jangka pendek
pengambilan alkohol lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang itu kurang
daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan tidak boleh
membuka pintu. Dalam masa yang singkat ini juga boleh menyebabkan hangover.
Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan alkohol, bahan lain dalam alkohol
dan tindakbalas ketagih alkohol.
1. KESAN DARI SEGI KESIHATAN:
Tanda-tanda hangover alkohol termasuklah sakit
kepala, loya, muntah, cirit birit, gangguan pergerakan usus dan menggeletar
selama 8 – 12 jam kemudian Kesan jangka panjang akan dirasai selepas meminumnya
selama beberapa bulan atau tahun. Kesan utama adalah seperti sakit jantung,
hati atau penyakit dalam perut. Bila situasi ini berlaku mereka akan kurang
selera makan, kekurangan vitamin, jangkitan penyakit, mati pucuk atau
kekurangan haid. Kematian yang awal adalah lebih kerap pada orang yang kuat
minum, terutamanya daripada sakit jantung atau hati, radang paru-paru, kanser,
keracunan alkohol yang teruk, kemalangan, pembunuhan dan pembunuhan diri.
2. KESAN PADA ANGGOTA TUBUH BADAN:
a) Kesan pada otak
1)
Selepas minum, alkohol akan meresap dari usus kecil ke dalam darah. Alkohol
terus dibawa ke jantung yang kemudiannya mengepam darah beralkohol tadi ke
seluruh tubuh. Dari sini ia terus meresap ke dalam otak dan seterusnya ke urat
saraf. Otak merupakan salah satu organ penting yang dimiliki oleh manusia
kerana otaklah yang mengawal segala pergerakan dan perlakuan seseorang dan
dengan kemasukan bahan asing ini ke dalamnya ia akan mempengaruhi pergerakan
dan kelakuan peminumnya.
2) Menyebabkan berlakunya penindasan
kawasan-kawasan yang biasanya mengawal maruah dan disiplin diri sehingga
peminum mula merasa kurang sifat malu, fikiran bercelaru, dan pergerakannya
pula agak tidak terkawal.
3) Kurang keupayaan dari segi belajar, membentuk
idea spontan, menumpukan fikiran, dan membuat pertimbangan yang teliti. Semakin
banyak jumlah alkohol yang diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan
boleh menyebabkan tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian.
b) Kesan pada hati
1) Setiap kali seorang peminum meminum alkohol,
hati akan mengalami kecederaan (mendapat luka). Sel hati akan mati dan menjadi
parut. Parut ini akan mengurangkan kemampuan hati untuk berfungsi dengan
sempurna. Parut yang serius akan menyebabkan hati tidak dapat berfungsi
langsung. Keadaan ini disebut sirosis hati dan boleh membawa maut.
2) Bengkak hati (hepatitis) juga boleh berlaku
disebabkan oleh lebihan toksik alkohol. Pada mulanya ia menyebabkan hati
mengembang dan lama kelamaan saluran darah akan mengecut. Ini menyebabkan darah
tidak dapat mengalir ke hati dengan sempurna dan akhirnya saluran darah akan
membengkak lalu pecah. Pada peringkat kritikal, penghidap hepatitis akan
mengalami muntah darah dan najis mereka akan bercampur dengan darah. Kesan pada
perut Alkohol menyebabkan kerengsaan perut (gastritis) yang akhirnya boleh
membawa kepada ulser. Bagi mereka yang memang menghidapi ulser perut, sakitnya
akan menjadi semakin teruk.
c) Kesan pada saraf
1) Boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit
seperti sindrom Wernicke-Korsakoff dan kerosakan sel-sel otak, yang seterusnya
membawa kepada komplikasi psikiatri. Peminum boleh mengalami halusinasi
pendengaran, amnesia, paranoia, depresi dan kecenderungan membunuh diri.
d) Kesan pada janin dan anggota lain
dalam tubuh badan:
1) Peminum alkohol kronik yang sedang hamil boleh
menyebabkan kandungannya mempunyai ciri-ciri kecacatan seperti kekurangan berat
badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, kurang penyelarasan
otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan sendi-sendi.
2) Bertindak dengan pelbagai sistem dan organ
tubuh. Contohnya, kesan terhadap sistem peredaran tubuh menyebabkan darah lebih
banyak dialirkan ke kulit. Ini menyebabkan kulit peminum menjadi
kemerah-merahan dan perpeluhan meningkat. Pengepaman jantung juga bertambah
pantas dan kuat seperti individu yang sedang melakukan senaman. Kepada
penghidap penyakit jantung, mereka mempunyai kemungkinan diserang penyakit itu.
3) Lebih cenderung membuang air kecil dengan
kerap kerana etanol boleh merencat hormon penahan kencing.
4) Mungkin mengalami anemia, hipoglisemia
(kekurangan gula di dalam darah), dan ketandusan vitamin.
5) Boleh meningkatkan risiko kanser sebanyak 15
kali terutamanya pada bahagian mulut dan tekak.
6) Apabila diminum dengan banyak arak boleh
merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang meresap dengan cepat ke
dalam bahagian tubuh manusia terutama jantung dan buah pinggang.
7). Meminum arak boleh menjadikan seseorang itu
mendapat sesak nafas yang akan menganggu alat pernafasan.
8). Meminum arak ketika perut kosong atau sebelum
sarapan boleh menyebabkan berlakunya barah dalma perut.
9). Boleh menyebabkan tekanan darah tinggi (hypertension)
yang boleh menyebabkan serangan mengejut ( stroke ) dan penyakit
jantung.
10). Boleh menghilangkan ingatan seseorang dan
menjadikan ianya kurang siuman dan hilang harga diri.
3. KESAN DARI SEGI KEAGAMAAN:
Peminum minuman keras biasanya akan melupakan
semua kebaikan, mengabaikan dirinya dari mengerjakan ibadat sembahyang dan
mengingati Allah Taala dapat menghancurkan moral, meruntuhkan akhlak dan
melemahkan perasaan dan semangat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai
seorang manusia yang dipandang mulia, waras dan berakal.
Keimanannya makin lama akan berkurangan, segala
maksiat dan kejahatan menjadi sebati dan dianggap baik untuk dilakukannya. Dan
jika mati dalam keadaan mabuk sudah pasti kerugian yang amat besar diperolehnya
kerana tidak sempat bertaubat dan memungkinkannya menjadi kufur, sebagaimana
hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Iman Al
Hakim:
Ertinya: “Barangsiapa melakukan zina atau
meminum arak, maka Allah Taala akan lucutkan imannya dari dirinya sebagaimana
seseorang membuka baju dari kepalanya”.
4. KESAN TERHADAP KERUKUNAN RUMAHTANGGA:
Minuman Keras juga dapat menjejaskan kehidupan
aman berumahtangga apabila wang perbelanjaan keluarga akan dihabiskan
semata-mata menurut hawa nafsu ketagihan arak. Pertelingkahan akan sering
terjadi di antara suami isteri dan seluruh keluarga yang terlibat. Suami
yang mabuk disebabkan arak ini sudah pasti tidak dapat lagi menjalankan
tanggungjawab sebagai seorang ketua dalam rumahtangga dengan baik. Anak-anak
akan menjadi mangsa kurangnya penjagaan, Pengawasan dan pemedulian orang
tuanya. Apabila keadaan sudah terjadi begini, anak-anak akan kurang didikan
yang sempurna dan akibatnya anak-anak akan kurang didikan yang sempurna dan
tercicir dalam bidang pelajaran oleh itu timbul masalah-masalah gejala
sampingan antaranya ponteng sekolah, menjadi anak-anak nakal, tidak lagi
menghormati orang tua dan lain-lain kesan negatif. Ini adalah disebabkan
keluarga yang keadaannya sudah kucar-kacir dan tidak lagi mengutamakan cara
hidup yang betul dan hilanglah kerukunan hidup berkeluarga disebabkan pengaruh
anak yang sangat bahaya.
5. KESAN TERHADAP MASYARAKAT:
Apabila seseorang itu meminum minuman keras
secara terus menerus, ini bererti ianya telah ketagihan dan tidak dapat
melepaskan dirinya dari cengkaman arak. Dengan demikian, si peminum akan
bertambah sesat, hilang pengawalan terhadap diri sendiri dan orang-orang yang
berada di sekitarnya. Pengaruhnya yang sangat bahaya terhadap saraf-saraf otak
di mana boleh mengakibatkan seseorang penagih tidak mampu mengendalikan diri,
tingkah laku dan hilang pula rasa malu. Maka dalam hal ini hilang kesinambungan
diri dan jauh dari nilai-nilai akhlak dan timbul pula keberanian untuk
melakukan tindakan-tindakan negatif terhadap orang lain. Antaranya
timbulnya permusuhan dan kebencian di kalangan teman-teman dan masyarakat
sekelilingnya. Keamanan dan keselamatan masyarakat akan tergugat apabila
terjadinya perkara-perkara sumbang, merosakkan rumahtangga orang lain dan
bermacam-macam lagi akibat buruk akan terjadi disebabkan oleh arak. Sebagaimana
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
Ertinya: “Janganlah kamu meminum arak kerana
arak adalah kunci segala kejahatan”.
6. KESAN TERHADAP KESELAMATAN UMUM:
Kesan yang jelas di sini ialah apabila seorang
peminum arak yang mabuk memandu kenderaan di jalan raya adalah satu keadaan
yang sangat merbahaya, baik terhadap diri peminum itu sendiri mahupun orang
ramai. Kemalangan atau kecelakaan lalulintas akan berlaku yang mana boleh
mengakibatkan kecerderaan dan menyebabkan kematian orang yang tidak berdosa.
Malah si peminum arak itu sendiri akan mengalami kecederaan atau kecacatan pada
anggota tubuh badannya, kurang siuman sekiranya mengenai bahagian otaknya
paling malang lagi apabila membawa kepada kematian si peminum itu sendiri.
Selain itu, kesan-kesan yang buruk yang boleh
berlaku akibat meminum arak seperti boleh melibatkan kestabilan ekonomi,
keamanan dan berlaku kehuru-haraan dalam sesebuah negara apabila
penagih-penagih arak wujud di dalam sesebuah sector kerajaan atau swasta yang
mana boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa, hartabenda, penyelewengan wang
negara, pecah amanah dan sebagainya.