Kenali Inhalan

Inhalan dikenali juga sebagai bahan hiduan atau sedutan adalah bahan mudah meruap (volatile) yang dihidu atau disedut untuk menimbulkan kesan psikoaktif atau merangsangkan perubahan minda. Umumnya, inhalan boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu:




1. Pelarut Mudah Meruap


Merupakan cecair yang akan meruap  pada suhu bilik. Pelarut ini didapati dalam kebanyakan produk-produk yang biasa digunakan di rumah atau untuk tujuan penggunaan perubatan dan industri. Produk-produk tersebut termasuklah cat dan penipis/pelarut cat, bahan pelindung fabrik, penanggal gris, bahan pengilat, minyak gas, minyak petrol, gam dan pelekat, cecair pemadam dan dakwat pen.

2. Bahan gas


Merupakan bahan yang banyak digunakan dalam perubatan seperti eter, klorofom, haloten dan nitrous oksida. Produk kegunaan di rumah yang mengandungi gas termasuklah pemetik api yang berisikan gas butana, tong gas propana dan gas peti sejuk iaitu freon. Penyembur aerosol pula biasanya mengandungi kedua-dua bahan pelarut dan gas. Antara penyembur aerosol yang mudah didapati di rumah adalah cat penyembur, semburan pewangi, penyembur rambut dan penyembur pelindung fabrik.

3. Bahan Nitrit 


Merupan sejenis  bahan sedutan yang sering digunakan  sebagai pemangkin seks dan mudah diperolehi di kelab-kelab malam. Antara bahan nitrit yang biasa digunakan adalah sikloheksil nitrit, amil nitrit dan butil nitrit yang terdapat dalam sebahagian jenama penyegar udara. Nama lain yang biasa dikenali oleh penagih ialah Climax, Rush, Locker Room dan Popper. Inhalan berbentuk bahan mudah meruap dan bahan gas lebih digemari oleh golongan awal remaja, walau pun terdapat juga golongan dewasa yang menggunakannya. Orang dewasa biasanya terdedah kepada bahan sedutan melalui pekerjaan mereka, manakala golongan remaja yang lebih berumur biasanya memperolehi dan terdedah kepada bahan nitrit di kelab-kelab malam.

Inhalan seringkali dipilih oleh penagih kerana ianya mudah didapati, harganya pun murah, serta penggunaannya mudah  disembunyikan atau dielakkan dari pengetahuan orang lain. Selain itu, bahan ini berupaya memberikan kesan-kesan yang diingini penagih seperti rasa tenteram dan selesa yang berlebih-lebihan yang dipercayai dapat mengurangkan tekanan hidup penagih, serta boleh menimbulkan perasaan khayal yang cepat dan berulang kali. Golongan remaja yang menagih juga akan lebih mudah diterima kumpulan rakan sebaya yang terlibat dalam aktiviti yang serupa.

Cara Penggunaan
Related image

Wap bahan ini biasanya dihidu melalui hidung atau disedut melalui mulut. Selain bahan inhalan yang tersenarai, penagih juga berkemungkinan menggunakan bahan lain bersama seperti arak, dan ini akan meningkatkan risiko terjadinya kesan yang lebih teruk. 

Hampir semua inhalan (kecuali bahan nitrit) yang disalahgunakan bertindak di otak dengan menekan fungsi sistem saraf pusat dan menghasilkan kesan yang seakan sama dengan kesan pengambilan arak (alkohol), ubat tidur dan agen bius. 

Terdapat satu kajian terbaru yang menunjukkan toluin iaitu sejenis pelarut yang didapati dalam gam, cat semburan, dan penanggal cat, boleh mengaktifkan sistem dopamina dalam otak sama seperti tindakan yang dihasilkan oleh dadah-dadah yang sudah lama dikenali seperti heroin, candu, dan lain-lain lagi.

Bahan nitrit pula sebaliknya tidak bertindak  terus ke atas sistem saraf pusat seperti kebanyakan inhalan yang lain, akan tetapi bahan ini secara asasnya bertindak membesarkan saluran darah dan merehatkan otot.