Kenali HIV/Aids

Apa itu HIV dan AIDS?





HIV atau Human Immunodeficiency Virus adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS. Ini boleh mengakibatkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman dan kanser. AIDS adalah singkatan bagi ‘Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit’ dan adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.
Pada tahun 2003, terdapat 40 juta orang menghidap penyakit HIV/AIDS di seluruh dunia, di mana 5 juta orang baru dijangkiti manakala 3 juta maut.


Bagaimanakah HIV merebak?

HIV mudah dijangkiti melalui cecair badan seperti:
  • Darah
  • Air mani
  • Cecair faraj
  • Susu ibu
HIV boleh merebak melalui:
  • Hubungan seks bebas bersama individu yang telah dijangkiti (termasuk hubungan melalui faraj, dubur atau mulut)
  • Penagih berkongsi jarum dan alat suntikan
  • Pemindahan darah dan organ yang tercemar dengan virus HIV
  • Ibu yang telah dijangkiti boleh merebakkan HIV kepada bayinya ketika dalam rahim, melahirkan atau sewaktu menyusu.

Bagaimanakah HIV tidak boleh merebak?

Virus HIV adalah virus yang lemah, tidak bertahan diluar badan manusia. HIV tidak boleh dijangkiti melalui:
  • Sentuhan seperti duduk bersebelahan, berjabat tangan, memeluk atau bekerja dengan pesakit AIDS
  • Berkongsi kemudahan awam seperti telefon awam, kolam renang, tandas dan pengangkutan awam
  • Berkongsi perkakas atau makanan dengan seorang pesakit AIDS
  • Bersin, batuk, berpeluh atau kencing
  • Gigitan nyamuk
Tanda dan Gejala

Apakah tanda-tanda jangkitan HIV?
Sebilangan pesakit mengalami gejala-gejala berikut dalam masa 2-6 minggu selepas dijangkiti kuman HIV:
  • demam
  • sakit tekak dan batuk
  • sakit otot
  • sakit kepala
  • cirit-birit
  • bengkak kelenjar limfa
  • letih
  • ruam
  • sakit sendi
  • turun berat badan
Pada peringkat awal, selalunya pesakit kelihatan sihat tetapi dirinya HIV positif. Walaupun pesakit tidak mempunyai tanda-tanda AIDS, tetapi ia boleh merebak dan menjangkiti orang lain.

Apakah gejala-gejala jangkitan HIV?

Pesakit HIV mudah untuk mendapat jangkitan kuman disebabkan sistem ketahanan badan lemah. Sekiranya tidak mendapatkan rawatan, gejala AIDS akan muncul dalam 8-15 tahun
Gejala-gejala tersebut adalah seperti berikut:
  • ruam
  • jangkitan sistem pernafasan
  • jangkitan paru-paru yang teruk dan batuk kering
  • cirit-birit yang kronik
  • jangkitan kuman pada otak (contohnya toxoplamosis)
  • Jangkitan kulat (contohnya candidiasis pada saluran makanan atau sistem pernafasan)
  • kanser (contohnya Kaposi’s sarcoma)
Dalam masa 2 tahun, pesakit AIDS boleh dijangkiti jangkitan kuman yang teruk, susut berat badan dan lemah.

Bagaimanakah untuk mengetahui sama ada dijangkiti HIV?

Ujian Antibodi HIV terdapat di mana-mana klinik atau hospital. Ujian segera ( keputusan selama 15 minit) juga boleh didapati. Maklumat individu akan dirahsiakan.

Ibu mengandung yang mendapatkan pemeriksaan di klinik ibu mengandung akan menjalani ujian antibodi HIV. Ini bertujuan mengurangkan jangkitan kepada bayi.

Kaunseling sebelum dan selepas menjalani ujian akan diberikan.